Wednesday, April 29, 2009

Cik Meninggal

25hb. April 2009 pukul 10.30 malam, cik meninggal di Hospital Sg. Buloh pada usia 57 tahun. Sememangnya aku tak sempat di sisi cik semasa nazak di hospital kerana aku semasa itu dalam perjalanan pulang dari bertugas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Namun... semua anak-anak cik termasuk isteri aku berada di sana membacakan kalimah Lailahaillallah. Cik tinggal dengan aku lebih kurang sebulan selepas menjalani pembedahan pintasan dan injap jantung di IJN. Sepanjang tinggal dengan aku... cik tidak berselera makan... walaupun pembedahan jantungnya dah sembuh.

Cik adalah emak nombor dua daripada empat orang emak. Ayah aku mengahwini beliau pada usia aku lebih kurang 8 tahun. Walaupun ayah aku berpoligami, kehidupan kami sekeluarga rukun aman damai; cik menginap di rumah bersebelahan. Cik seorang yang aktif; semasa itu berumur lebih kurang 18 tahun. Cik boleh buat apa saja... Malah aku berbangga masa itu kerana mempunyai dua emak. Emak aku pulak seorang wanita lemah lembut... sanggup berkongsi hidup dengan cik. Malah mereka berdua amat mesra. Tokwan (ayah emak) aku pulak sering memuji cik kerana pandai memasak.

Ketika itu antara lagu popular yang sering berkumandang di radio ialah lagu
Ayah Ku Kahwin Lagi nyanyian L. Ramlee. Hinggakan bila ada orang yang bertembung dengan aku di jalanan, mereka akan menyanyikan lagu itu. Namun lirik lagu itu ke arah negatif tidak seperti kehidupanku.

Begitulah kisah cik dalam kehidupan kami. Sepanjang hidup cik dikurniakan 8 orang anak. Kami sekeluarga amat mesra dengan saudara-saudara sebelah cik... hingga ke
hari ini.

Ayah aku berkahwin isteri ketiga (
Makcik Nah) semasa aku berumur lebih kurang 18 tahun... semasa itu aku dah mula hidup di luar lingkungan keluarga kami. Begitu juga ayah aku mengahwini isteri keempat (Maksu Nah) semasa aku dah pun berumahtangga.

Alhamdulillah... sememangnya anugerah Allah kehidupan berpoligami ayahku tidak porak poranda... hidup sebumbung. Namun semuanya itu tinggal kenangan. Ayah aku meninggal pada 20 oktober 1991 pukul 10.20 pagi, diikuti emak aku pada tahun 1996 dan kini cik menyusul.

Di hari pemergian cik... sesungguhnya aku tanpa malu-malu teresak-esak menahan kesedihan... (sepertimana pemergian ayahku dan emakku) dan aku redha kehendak Ilahi. Semoga roh ayah, emak dan cik dirahmati dan diredhai-Nya. Sesungguhnya cik amat baik dengan kami. Amin.

=al-Fatihah=

Tidak lupa juga di sini aku ucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan tenaga dan wang ringgit penduduk Blok E, Kg. Melayu Sri Kundang, Rawang, Selangor. Juga sahabat handai dalam urusan pengebumian cik ke tanah perkuburan Batu Arang, Rawang. Allah sahaja yang membalasnya.


2 comments:

gandasura said...

salam takziah dari saya sekeluarga...

ana RamLey said...

takziah,walaupun tak kenal terharu lak ana baca blog ini...