Wednesday, June 30, 2010

Anda perokok?

Kalaulah saya... saya akan tutup semua tingkap kereta...
sayang rasanya asap rokok yang mahal dibuang begitu sahaja...


Setiap pagi semasa menghantar anak aku ke sekolah, selalu bertembung dengan kereta ini. Juga seorang bapa kepada dua orang anak remaja (sekolah menengah). Boleh dikatakan setiap pagi beginilah keadaan si bapa... tangan menghulur keluar. Baguslah kerana takut asap rokok tempias kena ke muka anak. Nanti anak ketagih pulak.

Lumrahnya... aku tengok si bapa akan membuka plastik kotak rokok... kemudian campak keluar... lepas nyalakan rokok, asap berkepul keluar ikut tingkap, habuk rokok pun dilepaskan keluar akhirnya puntung rokok dicampak keluar. Inilah rutin yang diajar pada anak. Semuanya dibuat di depan mata anak-anak. Buang sampah atau membuat sampah!

Lebih parah lagi bila anak-anak remaja sudah serasi dengan aroma asap rokok! Dah jadi semacam ketagihan. Lebih-lebih lagi bapa yang menghantar anak ke sekolah dengan menaiki motosikal. Enjin motosikal dua lejang melepaskan asap putih serentak dengan mulut bapa meniup keluar asap putih.... anak kat belakang sedut! Ahhhh.... segar dan nyaman.

Pada hemat saya, kalau hendak menjayakan kempen anti merokok dengan berkesan, perokok wajib mematuhi disiplin terlebih dahulu. Merokok jauh daripada isteri dan anak-anak. Insya Allah dengan disiplin seperti ini, sedikit demi sedikit tabiat merokok dapat dihindari pada diri, keluarga dan masyarakat. Fikirkanlah siapa yang perlu berkorban; perokok atau bukan perokok? Tolonglah berkorban sikit atau beri ruang sikit kepada bukan perokok untuk menyedut udara kurniaan Allah ini. Please...

Monday, June 28, 2010

Kisah luka....

Pagi-pagi lagi jari aku tersepit. Lukanya boleh tahan, darah keluar semacam tidak mahu berhenti. Wah! Macam mana ni. Aku... kalau boleh tak nak hebohkan perkara ini... nanti ada kawan mencemuh, "Eleh... luka sebesar semut pun nak kecoh!"

Teringat semasa kecik kat kampung, orang tua-tua akan ambil sawang dan ditampalkan kat luka, insya Allah darah akan berhenti. Lalu aku pun melilau sambil terlangut-langut mengelilingi ruang pejabat, namun sukar hendak jumpa sawang. Baguih sungguh kerja kakak cleaner kami. Bila jumpa (itu pun setelah puas mengintai-intai di bawah meja) sekelumit cuma, aku pun tampalkan kat luka tersebut. Alhamdulillah... berkesan.

Dulu-dulu juga aku teringat, kalau luka ambil daun kapal terbang, upar dengan tapak tangan (jangan kunyah! nanti melelong tak jumpa jalan pulang!) dan tampalkan ke luka. Petua ini untuk luka kecil sahaja, kalau luka sebesar mulut kita.. cepat-cepat ke hospital kerana sawang setakat ini belum terjumpa lagi sebesar itu!

Pokok Kapalterbang, Pokok Jepun atau Pokok Jerman merupakan tumbuhan yang tergolong kumpulan rumpai. Ia merupakan salah satu rumpai yang perlu dibasmi dalam amalan pertanian diladang atau kebun. Dari segi perubatan tradisional ia boleh dijadikan ubat penahan darah. sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Kapal_Terbang

Kisah Satu:
Dulu-dulu, aku sering terpijak kaca. Tak mampu beli selipar, tapak selipar yang menipis (senipis tisu muka) menyebabkan kaca menembusi tapak kaki aku. Hmmmm... orang-orang tua jiran aku terus ambil serbuk kopi, diletakkan pada luka dan dibalut dengan kain (tak kira reja kain batik atau pelikat). Selang tiga empat hari... sembuh.

Kisah Dua:
Bila aku luka kat jari... pakcik aku akan suruh aku depakan tangan panjang-panjang... lepas itu dia kata, "Tak apa, luka tu jauh dari perut... boleh makan lagi!" Huhhh lawak la tu.

Kisah Tiga:
Ketika meningkat remaja, bila terlihat jari aku luka, ada seorang minah tu (awek) kata, "Luka di jari nampak darahnya... luka di hati siapa yang tahu..." Huhh... tajam dan mendalam maknanya tu... Tapi nampaknya aku ni lambat matang agaknya... bila dah tua macam ni... baru tahu maksud tersirat dan terselirat! Dan aku kini dah tahu betapa luka di hati yang tidak nampak darahnya amatlah azab dan perit!

Wednesday, June 23, 2010

Jalan-jalan ke Singapura memori Pulau Sentosa...

Stesen Keretapi Tanjong Pagar akan dipindahkan ke pusat pemeriksaan kereta api Woodlands pada 1 Julai 2011. Nostalgianya di sini... turun sahaja dari keretapi, aku terus masuk restoran retro kat situ pekena capati dengan minuman panas.
Kenapa aku suka naik kereta api? Hmm... mungkin check-pointnya tidak sesak kerana ia khusus untuk penumpang kereta api sahaja. Tidak orang yang berlari-lari anak bergegas-gegas kejar bas menyeberangi Tambak Johor seperti di check-point biasa.

Kebetulan pulak hari Jumaat, aku pun rasailah suasana solat Jumaat di Masjid Al-Mawaddah. Pergi naik MRT dan balik naik bas dengan Dehya.

Sabtu; petangnya ziarah ke rumah emak saudara... dekat Tampines dan Beduk...

~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~

Pagi Ahad: Aku dan Pn. Zie pergi ke Vivo City... jalan-jalan tengok cable car Pulau Sentosa, namun hampa... rupa-rupanya perkhidmatan ini telah dihentikan. Mungkin telah ada monorel ke Pulau Sentosa agaknya.
Tiada lagi cable car bergayutan, menyeberang laut ke Pulau Sentosa.... seperti foto tahun 2008
Tahun 2008
Tahun 2010.

Monorel menyeberangi laut ke Pulau Sentosa.Lebih cepat dan kurang gayat berbanding cable car.

Vivo City.

Teringat masa dulu sekitar tahun 90-an, aku dan Pn. Zie pernah naik cable car ke Pulau Sentosa. Semasa itu kami masih muda dan anak-anak masih kecil lagi.... Kami berdua hanya mampu tersenyum bila mengenang masa muda dulu... (ewah ewah.... feeling semacam nampak!)

Kaunter tiket yang ada cable car kiut miut, bertali arus dari kiri ke kanan (foto di bawah).
Foto di atas, pemandangan dari atas cable car, kapal persiaran lengkap dengan kolam renang.

Dua tahun lepas aku datang sini dan naik cable car dengan Atah dan Dehya. Aku tertarik pada cable car yang cute-miut bergerak di bahagian atas dalam kaunter tiket tersebut.

Malamnya... aku dan Pn. Zie balik ke Kuala Lumpur, dari KTMB Tanjong Pagar.
KTMB Tanjong Pagar, Singapura.

Pemandangan luar tingkap koc tempat tidur aku...

Akhir kalam... di kesempatan ini aku ucapkan ribuan terima kasih atas layanan yang istimewa diberikan oleh sanak saudara di Singapura.

Tuesday, June 15, 2010

Allah is calling....

video

Aku dedikasikan lagu ini untuk anda, peminat nasyid dulu-dulu. Al-fatehah untuk Allahyarham Zarie dan Allahyarham Soleh. Moga anda damai dalam keredhaan Allah di sana. Aku cukup bertuah dapat berkawan dengan Allahyarham berdua.








Kelihatan dalam cover album daripada kumpulan the zikr ini ialah Sdr. Nazry Johani (ex-Raihan), Abu Bakar Yatim (Raihan) dan Azman Abdillah as-Sabah.

Monday, June 14, 2010

Rehat sebentar...

Satu.... dua... rehat! Nampaknya itulah nasib abunyer.com aku. Ramai kengkawan bertanya... apa dah jadi? Hmmm apa boleh buat, aku cukup nahi @ nihil dalam bab dotcom ni... yang aku tahu buat entry pakai wordpress, medium untuk dotcom aku. Hih... hih...
"Baik hang pakai blogspot aja... tak dak masalah," kata Harun.
"Okey la... nantilah... aku pertimbangkan..." jawab aku.
"Oghang ber-dotcom, hang pun nak ber-dotcom.. peh!" tingkah Usop Kamal, pulang paku buah keras.
"Oiiii udah ler! Ngkau tak nampak aku tengah rehat ni!"

Tuesday, June 1, 2010

Quit Facebook Day


300,000 ahli Facebook tarik diri tanda protes



2010/06/01
SAN FRANCISCO: Satu kumpulan yang memprotes polisi peribadi keahlian Facebook mendakwa lebih 30,000 orang sudah menarik diri daripada menganggotai rangkaian sosial internet gergasi itu. “Bagi kami, dua perkara menjadi persoalan, iaitu pilihan lebih bebas dan memperoleh lebih tumpuan. "Pada pandangan kami, Facebook tidak melakukan yang terbaik kerana dari segi jabatan atau organisasinya, mereka tidak memperkenalkan diri mereka," kata kumpulan itu dalam satu laman web yang dikenali "Hari Keluar Daripada Facebook (Quit Facebook Day). “Facebook memberi kita pilihan bagaimana untuk menguruskan data peribadi kita, tetapi ia bukan pilihan yang adil," katanya. Beliau berkata, menjelang tengah malam semalam, 32,749 sudah keluar daripada Facebook di seluruh dunia. Facebook.com dilayari lebih 540 juta orang ramai di seluruh dunia, iaitu 35 peratus daripada populasi internet, menurut data dikeluarkan Google. Facebook kini melakukan pindaaan terhadap kawalan data peribadi ahlinya selepas dikritik hebat kerana melanggari kepercayaan ahli dengan mengeluarkan maklumat peribadi pelanggan. - AFP


Untuk anak-anak aku; sejak engkau leka ber-FB... sedarilah bahawa kelekaan dalam FB ini telah pun membawa engkau jauh tersasar. Mengumpulkan dosa dan noda. Melalaikan dan membuang masa. Usia telah meningkat... Matlamat hidup kabur... tercari-cari bak kelekatu menghurung lampu di waktu malam. Usah bila terhantuk baru mengadah. Dunia jambatan kita ke akhirat... Banyak lagi yang belum ditemui kebenaran hakiki.
Aku sedih....