Thursday, July 1, 2010

Karangan 'asal-usul aku'...

Semenjak dua menjak ini aku sering gunakan pasta gigi ini (bukan ubat gigi) yang ada di dalam bilik air pejabat. Mulanya tidak perasan lah pulak mana asal si 'zirodent' ini. Kalau dia boleh berbahasa.... wah! puas aku nak memahami bahasanya... kerana bila aku teliti betul-betul tulisan cengkenit, barulah aku tahu negara asalnya.

Rupa-rupanya si'zirodent' (tarikh luputnya: 20.10.2012) ini dibawa balik oleh krew penggambaran Angin Rindu Sarajevo di Sarajevo. Tertulis alamatnya:
SAPONIA d.d.
Matije Gupca 2,
31000 Osijek, Croatia
e-mail: saponia@saponia.hr
http://www.saponia.hr/

Bila terpandang si'zirodent' ini teringat aku masa sekolah rendah dulu... bila cikgu suruh buat karangan asal-usul aku. Formatnya lebih kurang begini:
Saya lahir hasil adunan segala macam bahan. Setelah digaul sebati, kami ramai-ramai pun dimasukkan ke dalam tiub yang siap berjenama, tanda pengenalan kami. Saya dan rakan-rakan saya ditempatkan di dalam setor untuk beberapa lama untuk diagih-agihkan. Ke mana tujuan kami tidak tahu. Hanya takdir yang menentukan.

Setelah lama berada di dalam kotak yang gelap, pada suatu hari ada seseorang telah membuka kotak tempat gelap kami. Lalu kami pun girang kerana cahaya yang terang benderang. Setelah itu orang tersebut mengangkat kami dengan cermat dan menyusun ke dalam rak ruang pameran. Saya dan kawan-kawan hanya mampu melihat orang berkulit putih lalu-lalang dan kadang-kadang singgah untuk membeli kami. Akhirnya saya dan kawan-kawan terpisah kerana saya telah dibeli oleh sekumpulan pelancong berkulit sawo matang yang datang ke negara saya.

Saya cukup bahagia kerana dapat berkhidmat sebagai pembersih gigi, sekurang-kurangnya dapat juga saya berjasa pada kesejahteraan manusia. Rupa-rupanya saya dibawa ke sebuah hotel, tempat penginapan tuan saya. Dari percakapan yang saya dengar, rupa-rupanya mereka dari Malaysia berbahasa Melayu.

Hampir sebulan setelah selesai urusan tuan saya di sini, mereka sibuk bersiap-siap untuk berangkat pulang ke Malaysia. Sedih juga untuk berpisah dengan rakan-rakan tuan saya. Saya rasa inilah kesudahan hidup saya, mungkin ditinggalkan atau dicampak ke dalam tong sampah. Rupa-rupanya tekaan saya meleset, saya dimasukkan bersama-sama barangan lain ke dalam beg. Sedar-sedar saya telah berada di negara Malaysia. Dan ditempatkan di dalam bilik air sebuah pejabat.

Bertuahnya saya berbanding rakan-rakan yang lain kerana merentas benua.
Kini, badan saya semakin susut. Saya hanya memikirkan sampai bila saya boleh berkhidmat untuk manusia di Malaysia.

Hinggalah suatu pagi, salah seorang kakitangan pejabat itu, Encik Abunyer menggunakan perkhidmatan saya, diambilnya dan difotokan untuk dimuatkan di dalam blog dia. Sungguh sentimental Encik Abunyer ini. Seorang yang suka mengimbau nostalgia kenangan silam.

Begitulah kisah hidup saya sebagai pasta gigi. Bertuah sungguh rasanya kerana saya rasa, sayalah satu-satu warga pasta gigi warga Crotia di samping pasta gigi warga Malaysia. Saya tahu bahawa rakan-rakan saya tidak akan sampai ke sini, memandangkan kami adalah barangan yang dipasarkan di bumi Kesatuan Eropah sahaja.

Hik... hik... okey tak karangan ala sekolah rendah saya tu? Itulah namanya Kisah Kehidupan yang punya asam garam pelbagai ragam hidup menunjukkan Maha Kaya Allah.

2 comments:

SURAIYA PAUZI said...

oooo ... kat sblh lelaki kongsi ke ubt giginya? Kami kt sblh pompuan semua sdn bhd. x da kongsi2 kecuali stok dh abis, ngenen lah sikit sesapa punya.

abunyer said...

Kalau begitu, saya nak letak setiap bilik air satu; tak kira bilik air lelaki @ pompuan...